Make your own free website on Tripod.com
PAS Mula Ditubuh Di Kelantan

Latar belakang

Berikut adalah dinukilkan catatan Amaluddin Darus rahimahullah mengenai usahanya mengembangkan PAS di Kelantan1 :

 "Menerusi saudara Ahmad Yatim, saya diminta memberi penerangan di Masjid Repek,  kira-kira tiga batu dari Pasir Mas. Saya pergi ke sana dan menemui Imam, dan dibenarkan saya memberi penerangan selepas sembahyang Jumaat. Saya tidak tahu siapakah yang meminta saya bersyarah di sana. Saya pergi bersendirian, dan bersyarah di sana. Orang-orang mendengar penerangan saya dan kemudian bersurai. Tidak ada seorangpun pedulikan saya.

 Saya keluar dari Masjid setelah bersalaman dengan Imam lalu menuju ke sebuah kedai kopi, kerana perut telah terasa kosong benar.

 Saya meminta secawan teh dan memakan kueh, sambil tunduk memikirkan bagaimana sambutan yang saya terima. Dalam hati saya mengatakan bahawa apa yang terjadi kepada saya juga pernah terjadi kepada hamba-hamba Allah yang lain. Atas apa-apa hal pun, saya telah melaksanakan tugas dan kewajiban saya. Semuga ini semua tidak akan disia-siakan oleh Allah.

 Dalam keadaan begitu tiba-tiba satu suara mengejutkan saya. Suara itu dari seorang muda yang sedang berdiri sambil menarik kerusi.

 "Huh! katanya, "Boleh saya tanya sikit".

 Saya merenung pemuda ini dan mempersilakan dia membuat pertanyaan.

 "Demo yang bersyarah tadi. Demo ingat bila PAS boleh menang nak perintah Kelantan?"
 Saya tersenyum kepadanya. Dia mengulang lagi, "Bila PAS boleh perintah Kelantan?".

 Kata saya, perjuangan ini seperti kita bertanam padi, Kita membuka hutan, menebang, membakar, membuat batas, mencedung atau menanam, menaruh baja, menghalau burung dan babi, itulah kerja kita, tetapi menggantung buah padi itu adalah urusan Allah sendiri dan bukannya urusan saya. Bagaimanapun pada hemat saya apabila sahaja Tokguru-tokguru di Kelantan membuka mata melihat perjuangan PAS ini, maka pada waktu itulah PAS menang dan insya Allah akan memerintah negeri Kelatan ini.

 Beliau mengucapkan terima kasih, dan mengatakan tidak perlu bayar harga teh dan kueh itu. Dia adalah anak dari tuan punya kedai itu barangkali.

 Beberapa hari setelah pilihan raya tahun 1959, di mana PAS menang 28 dari 30 kerusi negeri Kelantan, pemuda ini yang namanya saya tidak ingat telah bertemu dengan saya di Jalan Sultanah Zainab, Kota Bharu. Beliau memanggil saya dan berjabat tangan sambil mengingatkan kepada saya apa yang telah saya terangkan kepadanya pada tahun 1953 dahulu.

 Katanya, "Apa yang ustaz kata dulu memang betul. Saya masa itu adalah seorang pemuda UMNO dan mulai tahun 1958 saya telah menyokong PAS".
 
Penubuhan PAS2  di Kelantan sebenarnya bertitik tolak daripada pelbagai faktor. Asas berpolitik yang dibina dalam tahun-tahun 1920-an oleh Datuk Perdana Menteri Haji Mahmood bin Ismail, Tok Kenali atau Haji Muhammad Yusoff bin Ahmad, Haji Muhammad bin Muhammad Said dan lain-lain sangat berperanan dalam membuka hati rakyat menyambut dan menyokong parti politik yang selari dengan pemikiran mereka. Memenuhi tuntutan inilah, PAS muncul sebagai parti yang memperjuangkan "survival" politik di Kelantan3 . Sementara dalam konteks yang lain, Amaluddin Darus membayangkan terdapat faktor lain yang menggerakkan tokoh-tokoh tempatan menubuhkan PAS:

"Muhammad Asri, Hasan dan Abdul Rahim adalah kawan lama, dan mereka adalah pemuda-pemuda dari API atau Angkatan Pemuda Insaf. Saya berkenalan dengan Hasan dan Abdul Rahim setelah API diharamkan, di mana banyak daripada mereka di Kelantan telah ditangkap oleh British bersama-sama pemimpin-pemimpin PKMM atau Parti Kebangsaan Melayu Malaya.
Di antara pemimpin-pemimpin API itu, ada juga yang cerdik dan melarikan diri dari Kelantan. Bila Muhammad Asri kembali ke Kelantan dan bertemu dengan teman-teman seperjuangannya, mereka berbincang hebat mengenai politik.

Cara berfikir, Hasan dan Abdul Rahim masih sama seperti dulu, ke kiri. Selalunya radikal dan progresif. Tetapi cara berfikir Muhammad Asri sekarang telah berubah. Beliau memandang politik nasional dengan kacamata Islam"4 .

 Walau apapun, faktor sebenar PAS cepat bertapak dan berkembang di Kelantan adalah hakikatnya kerana arus perjuangan Islam telah lama bertapak di kalangan tokoh tempatan khususnya di sekitar Kota Bharu. Pengaruh perjuangan Islam tersebut telah dibawa oleh beberapa pimpinan Masyumi Indonesia yang datang menetap dan melawat Kelantan. Di antara mereka yang dimaksudkan ialah Tamee @ Bustamin bin Ismail yang telah datang menetap di Kelantan sejak tahun 1932. Beliau dilahirkan di Bukit Tinggi Sumatera Barat. Di Kota Bharu, beliau telah membuka perniagaan restoran menyedia menu masakan ala Sumatera. Beliau telah bersahabat baik dengan Mohd Daud bin Salleh seorang penulis petisyen bertauliah di Kota Bharu. Mohd Daud adalah seorang yang meminati dan menghayati perjuangan Islam  Masyumi. Semasa PAS ditubuhkan tahun 1951, berita itu cepat sampai ke pengetahuan Bustamin dan Mohd Daud. Mereka mendapat maklumat daripada beberapa rakan dan individu tertentu di Perak, khususnya melalui Khaidir Khatib yang asalnya dari Sumatera juga sedang mengajar agama di Maahad Ehya al-Syariff Gunung Semanggol. Pada masa itu, Dato' Mohd Asri yang aktif dalam API telah berpindah ke Perak lebih awal untuk mengelak dari diburu oleh pihak berkuasa dan berkahwin dengan Ustazah Sakinah anak kepada Haji Joned, salah seorang guru di Ehya Al-Syariff yang berasal dari Sumatera. Pada masa di Ehya Al-Syariff itulah Dato' Mohd Asri telah mula memahami perjuangan Islam dan kemudian bekerja dengan pejabat PAS di Kepala Batas, Seberang Prai selepas PAS ditubuhkan. Dato' Mohd Asri adalah adik ipar kepada Mohd Daud. Dengan sokongan moral dan kewangan dari Mohd Daud dan Bustamin, beberapa rakan turut sama mengadakan ceramah mengembangkan PAS di sekitar Kota Bharu. Sehingga mereka berjaya menubuhkan rating PAS pertama di Kota Bharu dalam tahun 1952. Di antara tokoh yang bersama-sama Mohd Daud dan Bustamin ialah Mohd Amin bin Yaakob (pembantu Mohd Daud), Ishak Lotfi bin Omar (anak tiri Mohd Daud/pegawai Majlis Agama) dan Abdul Rahman Sulong (imam di Dewan Beta)5.

PAS Kelantan Ditubuh

 PAS cawangan pertama (sekarang ini dikenali sebagai PAS Kawasan) di Kelantan mula-mula sekali ditubuhkan atas usaha Amaluddin Darus, Omar bin Yusuf, Ustaz Abdullah Ahmad dan lain-lain. Medan pertama PAS ialah di Pasir Mas yang ditubuhkan secara rasmi pada 23 Julai 1953. Berteraskan perjuangan Islam, PAS berjaya menarik golongan yang benar-benar cintakan Islam seperti para ulama', ustaz-ustaz dan pelbagai lapisan masyarakat6.

 Melihatkan kejayaan cawangan Pasir Mas, tokoh-tokoh awal seperti Amaluddin Darus, Ahmad bin Yatim dan Mohd Noor bin Senik terus menyebarkan PAS ke seluruh negeri Kelantan dengan berbagai cara termasuklah dengan cara berbual di kedai kopi. Kesempatan berbual di kedai kopi dimanfaatkan dengan memperkenalkan dasar perjuangan PAS7  .

 Cawangan kedua PAS ialah di Machang pada 21 September 19538 dan orang yang bertanggungjawab membawa PAS ke Machang ialah Hj. Muhammad Nor bin Hj Yusoff atau lebih dikenali sebagai Haji Mohd Nor Machang. Selepas cawangan Machang, PAS berjaya menubuhkan rantingnya di Tanah Merah9 dan diikuti dengan Kota Bharu dan Pasir Puteh pada tahun 1954. PAS dikatakan berkembang pesat setelah kepulangan Mohamad Asri Hj Muda dibantu oleh Ishak Lotfi Omar anak saudaranya dan Ustaz Othman Abdullah, Ketua Pemuda PAS, di samping seorang tokoh tempatan dari Pasir Puteh, Ustaz Hj Adam Kamil. Hasilnya PAS telah berkembang sebagai cawangan di Tanah Merah (1955), Bachok (1956), Kuala Krai (1958) dan Tumpat (1959)10.

Perkembangan PAS Di Kelantan

 Apa yang jelas selepas tahun 1955, perkembangan PAS membuka lambaran baru dengan kepulangan Dato' Asri ke Kelantan dan beliau diberi penghormatan menjadi  Pesuruhjaya PAS Kelantan dan Terengganu. Sementara Amaluddin Darus selaku Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan dan Terengganu11. Ketokohan Dato' Asri yang boleh menggerakkan sentimen kefahaman politik Islam dengan gandingan ayat-ayat Al-Quran dan Hadis dan pandai bermain sentimen dengan menyelitkan unsur-unsur nasionalisme berjaya menarik guru-guru pondok menyertai PAS.  Kesannya PAS telah menjadi tarikan guru-guru pondok di antaranya ialah Tuan Guru Haji Abdullah Tahir dari pondok Bunut Payung12. Setelah ditubuhkan selama empat tahun, PAS menyertai pilihan raya Majlis Undangan Persekutuan tahun 1955. PAS meletakkan 11 calon kesemuanya. Di Kelantan PAS telah bertanding dalam tiga kawasan pada masa itu, dan ketiga-tiga calon PAS telah kalah. Bagaimanapun satu kemenangan tunggal yang didapati oleh PAS di Kerian, Perak. Calon PAS yang telah berjaya itu ialah Tuan Haji Ahmad Tuan Husain, tuanguru pondok Pokok Sena, Seberang Prai13. Sementara calon PAS di Kelantan yang kalah ialah Mohammad Asri (Bachok dan Pasir Puteh) Muhammad Nor Hj Yusof (Machang dan Ulu Kelantan) dan Haji Mokhtar Hj Ahmad (Pasir Mas)14. Berikutan dengan kekalahan itu, jentera PAS bergerak lebih aktif lagi, contohnya Dato' Asri dan Amaluddin b. Darus hanya berehat seminggu dan terus berusaha menyebarkan PAS ke seluruh Kelantan15.

 Berkat kerja keras, pilihan raya pertama selepas merdeka pada Ogos 1959, PAS telah dianugerahkan kemenangan oleh Allah. PAS menang 28 kerusi Dewan Undangan Negeri daripada 30 kerusi. Kemenangan yang menguji PAS Kelantan untuk mentadbir sebuah kerajaan negeri. Dalam pilihan raya 1959 itulah, Profesor Zulkifli Muhammad, selaku Naib Yang Dipertua PAS Pusat seorang tokoh PAS Pusat telah didatangkan bertanding di parlimen Bachok. Beliau telah menang dan berjaya menjadi salah seorang ahli parlimen pembangkang yang paling disegani16.
(bersambung di keluaran akan datang)
 

Bibiliografi:

1. Amaluddin Darus (1977), Kenapa Saya Tinggalkan PAS, Harimau Press Sdn Bhd., Kuala Lumpur. ms. 33-35.
2. Nama PAS muncul daripada singkatan ejaan jawi, Fa Alif Sin. Nama PAS sebelumnya adalah "Persatuan Islam Se-Malaya" sebagaimana persetujuan oleh Muktamar Ulama' Ketiga di Butterworth pada 23 November 1951. Kemudian 14 Jun 1955, Persatuan ini didaftar dengan Pendaftar Pertubuhan dengan nama Pan Malayan Islamic Party (PMIP) sehari sebelum penamaan calon Pilihan Raya Persekutuan yang pertama. Kemudian pada 25 Disember 1958 dalam Muktamar PAS bersetuju sekali lagi ditukar nama kepada Persatuan Islam Se-Tanah Melayu, dan pada tahun 1971 bertukar dan kekal sehingga kini sebagai Parti Islam Se-Malaysia (Sumber: Majalah Dunia Islam, Ogos 1991, Penerbitan Zin, Kuala Lumpur. ms 26-27).
3. Alias Muhammad (1984), Kelantan di Bawah PAS, Masalah Tanah dan Rasuah, Insular Publishing House Sdn. Bhd., Kuala Lumpur. ms. 81.
4. Amaluddin Darus, op.cit., ms. 46.
5. Temubual dengan Tuan Haji Mohd Amin bin Yaakob, seorang pengasas PAS di Bachok di rumahnya pada 16 Disember 1997 dan temubual dengan Armin anak ketiga (bongsu) Bustamin bin Ismail, di restorannya di Kota Bharu pada 17 Disember 1997; restoran "Sumatera" yang ada adalah peninggalan Bustamin yang sekarang diuruskan oleh Armin. Bustamin meninggal dunia pada tahun 1981, mempunyai tiga anak Tamerin @ Tamberin, Salmah dan Armin.
6. Alias Muhammad (1994), PAS' Platform: Development and Change 1951 - 1986,  Gateway Publisihing House Sdn. Bhd., Petaling Jaya. ms. 49-50; lihat juga, Amalauddin Darus, ibid, ms 25-27.
7. Faridah Bt Ali (1974), "Sejarah Awal Perkembangan PAS di Kelantan 1953-1959", dalam JEBAT, Journal Jabatan Sejarah UKM, Bangi.
8. Alias Muhammad (1994), op. cit., ms 50.
9. Amaluddin Darus, op.cit., ms 33.
10. Ibid., ms 67; lihat juga Alias Muhammad (1994), op.cit., ms 50.
11. Amaluddin Darus, Ibid. ms 73-74.
12. Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan (1992), Laporan Tahunan 1991/1992 untuk Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-38, Kota Bharu. ms 1.
13. Amaluddin Darus, op.cit., ms 74-75.
14. Ibid., ms 75.
15. Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan, op. cit., ms 1.
16. Ibid., ms 2. o