Make your own free website on Tripod.com
MUSLIMAT LEBIH POLITIKING DARI MUSLIMIN?

Oleh: Salmah  Mat Hussain

 Penglibatan wanita dalam kancah politik tanah air adalah perlu. Meskipun begitu, ia terdapat batas-batas  tertentu dan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Islam itu sendiri. Dalam setiap parti  yang ditubuhkan di negara ini, wanita turut diberi peluang utama melibatkan diri dalam bidang politik sebagai mewakili kaumnya sebagaimana golongan  'pemuda'  yang dianggap sayap kanan pada perjuangan parti. Oleh kerana itu, golongan wanita dari parti-parti  seperti Umno, MIC, MCA dan sebagainya masing-masing mempunyai  dasar perjuangan  yang tersendiri yang harus diperjuangkan mengikut perlembagaan parti masing-masing.

 Mahu atau tidak,  sedar atau sebaliknya hakikat kejayaan  sesebuah parti  politik  dalam sesebuah  pilihan raya sama ada  pilihan raya kecil  atau umum banyak  bergantung  kepada sejauhmana keberkesanan yang dimainkan oleh golongan wanita ini.

 Sifat dan keterampilan diri  yang ada pada  golongan hawa ini  memberi  kepercayaan  kepada pucuk pimpinan semua parti  politik  peringkat nasional, iaitu golongan ini  mempunyai keupayaan  menjalankan kerja-kerja  kempen dalam pilihan raya.

 Dalam perjuangan Islam di negera ini misalnya, Dewan Muslimat PAS mempunyai  kedudukan dan peranan istimewa, malah turut setanding dengan golongan muslimin. Ini kerana sungguhpun Dewan Muslimat merupakan salah satu daripada tiga sayap Parti Islam  Se-Malaysia (PAS), tetapi ia mewakili tuntutan perjuangan Islamiah kepada kira-kira separuh daripada pendokong-pendokong  gerakan Islam di negara ini. Keistimewaannya terletak kepada  sifat kewanitaan itu sendiri, di samping bilangan kaum itu juga melebihi kaum lelaki terutama di Kelantan.

 Dari segi peranannya pula, kaum wanita bukan sahaja mengurus rumah tangga sebagai isteri dan ibu, tetapi juga memberi  sumbangan tenaga dan fikiran  untuk kerjaya masing-masing. Begitu juga dari segi perjuangan mereka turut melibatkan diri dalam kerja politik dan dakwah.

 Kesemuanya ini; pengurusan  rumah tangga, kerjaya dan perjuangan menjadikan wanita mempunyai pengaruh yang besar dalam perkembangan dunia hari ini terutama dalam bidang gerakan politik. Dari perspektif PAS, seperti mana fasal 59, Perlembagaan PAS, telah disebut tiga tugas am  Dewan Muslimat PAS, dua daripada tugas-tugas itu adalah menyatukan tenaga, fikiran dan pandangan muslimat PAS dalam negara ini. Di samping itu, meluaskan pengaruh PAS di kalangan wanita  Islam melalui kegiatan  kewanitaan, sambil  membentuk keperibadian  mereka supaya menjadi  muslimat yang bertanggungjawab kepada agama dan negara serta menyakinkan mereka kepada cit-cita Islam  yang diperjuangkan PAS.

 Oleh itu, tidak keterlaluan sekiranya dinyatakan kemenangan seratus peratus kerusi Angkatan di Kelantan pada tahun 1990 adalah kerana kerja keras golongan ini. Dengan kemenangan itu juga, rencana khas oleh sebuah majalah Islam,  al-Muslimah keluaran November 1990 telah mengupas tentang kemenangan itu dengan imejnya 'Tangan yang Menghayun  Buaian Menggoncangkan Kelantan'.

 Dari sini juga, telah jelas bahawa wanita telah memberi saham  yang besar terhadap kemenangan Angkatan dalam pilihan raya umum  pada tahun itu dan seterusnya keputusan pilihan raya umum pada 25 April 1995, kerajaan Kelantan di bawah PAS sekali lagi dapat dibentuk dengan jayanya sekalipun tidak lagi seratus peratus. Ini membuktikan sokongan padu kaum wanita Kelantan tetap kepada kerajaan Angkatan.

 Semua masyarakat di negara ini  sedar khususnya orang Kelantan sendiri, bahawa pada pilihan raya tahun 1978 PAS telah kalah teruk. Kekalahan itu berpunca daripada kenaan 'mageran' terhadap kerajaan mutlak PAS pada masa itu. Hasil pilihanraya itu PAS hanya mampu mempertahankan dua kerusi sahaja iaitu, Dun Kemumim dan Manik Urai. Kaum wanita pada masa itu, turut terkeliru dengan fitnah-fitnah politik Umno.

 Serentak dengan kekalahan itu , Dewan Muslimat PAS yang  pada ketika itu diketuai oleh Hajjah Wan Asma' Abdul Kader dan Naib Ketuanya Hajjah Kalthom Othman telah mengorak langkah dan bangkit berjuang untuk menebus kekalahan itu. Sekalipun ia memakan masa kira-kira 12 tahun, namun langkah yang dihayun itu benar-benar menggoncangkan Kelantan pada tahun 1990.

 Kempen dari rumah ke rumah  atau merayu  undi setiap kali pilihan raya diatur dengan baik dalam usaha memulihkan kembali prestasi PAS yang suatu ketika duhulu telah malap. Saf pimpinan Dewan Muslimat PAS Kelantan sendiri, telah membina semangat juang yang tinggi dan kental di kalangan ahli-ahlinya di semua peringkat termasuk di peringkat cawangan-cawangan dengan pelbagai latihan dan aktiviti.

 Plihan raya  kecil yang diadakan di Dewan Undangan Negeri Limbongan dan Sungai Pinang. pada tahun 1992, Lundang (1994), Parlimen  Gua Musang  (1995), Pulau Chondong (1997) dan Semerak (1997) turut memperlihatkan kesungguhan golongan hawa ini bagi mempastikan kemenangan yang dituntut oleh perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.

 Orang pertama yang memuji dan melahirkan rasa terima kasih kepada golongan muslimat terhadap penglibatan mereka dalam pilihan raya khususnya pada tahun1990 ialah Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau secara terbuka mengucapkan terima kasih yang tidak  terhingga kepada muslimat  seluruh Kelantan yang berusaha sedaya upaya untuk merampas semula Kelantan pada suatu  majlis kesyukuran kemenangan pilihan raya kecil pada tahun 1990. "Tanpa kesungguhan muslimat  dengan izin Allah sudah tentu kita tidak dapat menikmati kejayaan yang begini besar nilainya", ujarnya.

 Penghargaannya itu tidak terhenti di situ sahaja, malah setiap perubahan diolah, dikaji dan dilaksanakannya sebaik mungkin demi memartabatkan golongan hawa itu yang sering kali dieksploitasikan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab. Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sebagai seorang Menteri Besar, begitu prihatin membuat perubahan yang mem-berangsangkan sekalipun dianggap  remeh semata-mata bagi menaikkan kedudukan dan imej wanita sebagaimana kehendak Islam. Semuanya bukan sahaja sebagai menghargai jasa dan  pengorbanan muslimat, tetapi sebaliknya juga ia dijalankan kerana memenuhi tuntutan agama. Kerana menurut tuntutan  agama juga, kerajaan negeri tidak membenarkan golongan hawa ini bertanding dalam tilawah al-quran, dilarang  bernasyid  kepada wanita yang berumur  15 tahun ke atas, dilarang memperaga tubuh semata-mata untuk tujuan iklan dan sebagainya.

 Di awal pentadbiran kerajaan Angkatan iaitu pada tahun 1991, kerajaan negeri telah menekankan masalah aurat  yang sememangnya menjadi kewajipan muslimat menjaganya. Selepas itu kerajaan negeri memutuskan untuk memendekkan masa bekerja di bulan Ramadhan bagi membolehkan golongan wanita menyediakan juadah  untuk keluarga berbuka puasa. Bagi menjaga keselamatan golongan wanita itu juga, kerajaan negeri menyarankan agar pekerja kilang di kalangan  wanita  supaya tidak bekerja malam (giliran malam). Ia disusuli pula larangan mempamerkan wajah-wajah kaum hawa itu oleh pihak tertentu dalam iklan-iklan agar mereka tidak dieksploitasikan.

 Serentak itu, cuti bersalin bagi kakitangan awam di negeri ini telah dilanjutkan selama 60 hari berbading 42 hari sebelumnya. Keputusan itu yang diumumkan sendiri  oleh Menteri Besar pada tahun 1993 mendapat kritikan masyarakat luar, namun akhirnya pada tahun ini beberapa pemimpin Kerajaan Pusat pula semacam meniru dan bersetuju dengan dasar wanita Kelantan, ke arah untuk melaksanakan  cuti 60 hari  kepada kakitangannya.

 Bertolak dari situ, iaitu pada tahun-tahun seterusnya, setiap kaunter pasaraya  di bandar Kota Bharu diarah mengasingkan kaunter pelanggan lelaki dengan wanita bagi mengelakkan percampuran bebas di khalayak ramai.

 Peringatan serius terhadap golongan wanita supaya tidak 'bermake-up'  seperti bergincu ketika di luar rumah  turut ditekankan oleh Menteri Besar. Langkah itu adalah semata-mata mempastikan terlaksananya pencegahan awal daripada unsur-unsur zina dan kemaksiatan yang memangsakan wanita.

 Penghargaan terhadap golongan ini tidak terhenti setakat itu sahaja apabila pada bulan September 1977 lalu dengan rasminya Pasar Besar Buluh Kubu bertukar nama kepada Pasar Siti  Khadijah. langkah ini telah membuktikan bagaimana kuatnya penagaruh golongan muslimat dalam ekonomi Kelantan. Perubahan nama pasar itu juga boleh dianggap sebagai wanita adalah model yang unggul serta simbolik terhadap budaya sosio-ekonomi dan politik Kelantan. Dianggarkan hampir 100 peratus golongan wanita yang terdiri daripada pelbagai bangsa, Cina, India dan Siam telah  memenuhi ruang niaga yang telah dirintis oleh golongan itu sejak sekian lama.

 Malah  yang terbaru, Menteri Besar secara terbuka mencadangkan golongan ibu tunggal (janda) hendaklah dikenali sebagai 'armalah' yang diambil dari Bahasa Arab sebagai menanamkan semangat cintakan  Islam di jiwa mereka sekalipun terpaksa mendidik anak-anak tanpa suami masing-masing.

 Sekali pun tidak berhasrat untuk mengatakan golongan wanita lebih  'politiking' dari muslimin, Namun unsur-unsur politik "kewanitaan" telah diperkirakan dalam membuat pembaharuan semenjak penubuhan  kerajaan Angkatan tahun 1990. Justeru itu, paling penting dan wajar diketengahkan di sini  ialah kaum wanita turut diberi  penghormatan untuk dilantik sebagai Anggota Dewan Negara. Ketua Dewan Muslimat PAS  Kelantan, Hajjah Kalthom Othman Ketua Dewan Muslimat PAS, wanita  pertama dari PAS diberi penghormatan dua penggal (1991-1997) sebagai senator demi membawa suara muslimat ke Dewan Negara. Setelah tamat tempohnya, dua lagi diberi kepercayaan, mereka ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Hajjah Jamilah Ibrahim dan Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan, Hajjah Hunaizah  Mohd Nor. Perlantikan ini bersesuaian dengan perjuangan PAS yang tidak akan melantik golongan muslimat sebagai wakil rakyat kerana suasana politik hari ini yang tidak memungkinkan penglibatan muslimat.

 Di peringkat pusat juga, kaum muslimat semakin matang khususnya dalam  bermuktamar. Hujah-hujah mereka sama ada ketika membahas usul atau ucapan penangguhan semakin mendapat perhatian jamaah. Malah Presiden PAS, Ustaz Fadhil Mohd Nor  setiap kali dalam ucapan penggulungan muktamarnya memuji kemampuan muslimat. Muslimat sekali pun tidak pernah menuntut sebarang jawatan di sepanjang penglibatan politik mereka, namun keazaman dan tanggungjawab mereka terhadap perjuangan Islam tetap beristiqamah memikul peranan bagi meneruskan jihad. Serangkai ungkapan kepada para politikus dan pendakwah muslimat; Membujur lalu melintang patah, mengundur lalu tidaklah endah, akan berjuang bertalu-talu kerana semangat tidak pernah patah. o